(Surat terbuka buat menteri kesihatan.)
Assalamualaikum YB Dato Seri Dr. Dzulkefly Ahmad,
Alhamdulillah, YB Menteri telah berjaya menjadi menteri, bergaji puluhan ribu. InsyaAllah berpencen besar juga nanti. Pengikut-pengikut setia YB Menteri juga mendapat laba yang besar, berpangkat tinggi dengan tangga gaji dari 48 ke 54.
Kami rakyat marhaen masih begini. Kehidupan kami masih tidak berubah. Ditipu, disepak, diterajang dan dibuli oleh kaum kapitalis. Kerana apa? Kerana kami tiada kuasa. Kami tidak punya gaji puluhan ribu. Kami juga tiada polis yang menjaga.
Kami tiada para pembantu seperti SUSK, SUS, SUPOL, SUA dan pegawai-pegawai khas yang dibayar gaji besar dengan dana rakyat untuk membantu menteri. Atas sebab itulah, kepada menteri tempat kami mengadu di siang hari. Dek kerana kami rakyatlah, YB Menteri mendapat tempat seperti sekarang. Jangan lupa!
YB Menteri yang memegang amanat rakyat,
Kami mengambil kesempatan di atas warkah terbuka ini untuk mengucapkan ribuan tahniah kerana semangat juang YB Menteri dalam memerangi budaya merokok di tempat awam. Tidak cukup dengan memerangi perokok, pengguna dan tauke vape juga KKM perangi.
Tahniah dan syabas!
Kami tahu dan faham yang YB Menteri merupakan ahli dalam bidang toxicology. Tidak dapat dinafikan yang kefahaman YB pasti mengatasi masyarakat awam lebih-lebih lagi YB adalah produk pelajar cemerlang Malaysia suatu masa lalu yang dihantar ke UK sehingga mendapat Phd dari Imperial College.
Dalam masa yang sama, umum mengetahui yang YB Menteri merupakan ahli gerakan Islam yang sudah lama dan seorang yang amat memahami asas ilmu usul fiqh. Tentang methodology sains pula, tidak perlu disangkal lagi kefahaman YB Menteri yang memiliki ijazah kedoktoran dari universiti ternama dunia. Jadi sudah pasti YB Menteri mampu menilai dan menimbang menurut neraca sains dan usul fiqh dalam masalah muamalat umum rakyat Malaysia. Lebih-lebih lagi dalam ruang kuasa potfolio sendiri, iaitu KKM.
YB Menteri yang dimuliakan Allah,
Terdengar di luar sana, negara Taiwan telah cuba memperkenalkan hukuman mati untuk pemandu mabuk. Bagaimana pula negara Islam Malaysia yang bergelar Rahmatan lil alamin?
Rasanya sudah banyak nyawa yang tidak berdosa dibunuh disebabkan arak. Begitu ramai tubuh-tubuh yang tidak bersalah menjadi cacat dan luka disebabkan arak. Adalah YB Menteri masih tidak nampak?
Rasanya tidak perlu kami memberikan statistik, data atau figura buat YB Menteri. Pegawai-pegawai YB menteri yang ramai-ramai itu pasti bisa mencari kesemua itu. Cumanya kami melihat sikap YB Menteri yang tidak konsisten terhadap sesuatu isu menunjukkan YB Menteri masih kabur atau takut menentang kaum kapitalis dan pemabuk!
Adakah mabuk baik untuk kesihatan? Adakah mabuk itu baik untuk manusia? Adakah bermabuk itu baik untuk masyarakat? Adakah kaum pemabuk itu baik untuk negara? Adakah mabuk itu baik untuk Islam? Soalan-soalan ini wajib difikirkan dalam benak akal seorang yang waras, berpelajaran, muslim mukmin dan berkuasa.
YB Menteri yang diberi kuasa,
Adakah manusia akan mati jika tidak minum arak? Adakah YB Menteri terlupa yang arak itu raja segala kejahatan. Dari arak menghasilkan pemabuk, dari pemabuk melahirkan pembunuh! Dosa apakah yang lagi besar dari membunuh nyawa yang tidak berdosa?
Adakah kerana rakan-rakan politik YB Menteri kaki mabuk atau suka mabuk menyebabkan YB Menteri tidak berani bangkit melawan raja segala kejahatan ini? YB Menteri tidak perlu hujah agama untuk masalah ini, hujah sains, kajian sosial dan jenayah sudah cukup untuk membuktikan arak merosakkan negara.
Lihat sahaja baru-baru ini, beberapa nyawa tidak berdosa dibunuh kerana pemandu mabuk. Apakah nasib anak-anak dan tanggungan mereka jika yang dibunuh itu ialah mereka yang menjadi tunjang mencari rezeki? Siapa yang akan menanggung kehidupan mereka kelak? Adakah gaji atau elaun-elaun YB Menteri mahu disalurkan kepada mereka?
YB Menteri yang sangat dihormati,
Kata Allah dalam al-Quran,
“Barangsiapa membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat membuat di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” (Al Maidah: 32).
Berapa nyawa lagi yang YB Menteri mahu lihat melayang dek kerana dibunuh arak? Berapa juta lagi kerugian yang rakyat akan tanggung kerana masalah kesihatan disebabkan arak? Berapa juta lagi kos yang perlu dibayar untuk pemulihan infra, penguatkuasaan dan ganti rugi kerana arak?
Justeru itu, kami menasihatkan YB Menteri bertakwa kepada Allah dengan sebenar-sebenar takwa dan juga berlaku adil kerana berlaku adil itulah tanda taqwa. Allah berfirman,
” Berlaku adillah kamu, kerana adil itu, lebih dekat dengan taqwa.” (Al Maidah : 8 )
Dalam kesibukan YB Menteri melihat dunia dari kaca mata politik, pandanglah kami dengan kaca mata al-Quran, tenunglah kami dengan kanta mata marhaen. Mungkin di mata kerajaan, nilai cukai arak itu lebih berharga dari nyawa kami. Keredhaan kaki mabuk itu lebih besar dari keredhaan Allah. Tapi ketahuilah arak itu haram dan keredhaan Allah itu yang membawa rahmat di dunia dan di akhirat.
Jadikanlah negara Malaysia bersih dari dadah, rokok, vape dan arak. Aspirasi dan gerakan ini perlu dimulakan oleh YB Menteri yang berkuasa. Political will, keazaman dan iltizam perlu ada untuk melakukan reformasi ini. Biar dunia mengenali Malaysia sebagai negara yang bebas pemabuk, perokok dan penagih dadah. Bukan negara yang menyembah para kapitalis tembakau dan arak.
YB Menteri yang kami cintai kerana Allah,
Akhir kata, kami berharap YB Menteri cuba meletakkan diri YB di dalam kasut anak mangsa pembunuh mabuk. Cubalah sedetik untuk merasai perasaan mereka. Bezanya anak mangsa tiada kuasa, YB Menteri punya kuasa dan suara. Jika anak itu punya kuasa, adakah anak itu akan menggalakkan lagi aktiviti mabuk?
Kami mendoakan YB Menteri dan pasukan YB selamat bekerja dan menjalankan amanah dengan baik. Mungkin surat terbuka sebegini dipandang enteng oleh sesetengah pihak. Tapi kami percaya ia tidak dipandang sepi oleh masyarakat. Kami, rakyat sedang memerhati.
Kami mungkin dipandang biasa oleh YB Menteri, hendak berjumpa pun ditapis, perlu ikut turn dan dipermainkan oleh pegawai-pegawai YB Menteri, tidak seperti kaum kapitalis yang punya wang berjuta dan berbilion. Pasti dilayan dan disantuni.
Tetapi tidak mengapa, jangan lupa yang menumbangkan rejim yang lalu itu sebenarnya ialah kami, rakyat!
Sekian, terima kasih.
Ikhlas,
Dr. SCRUT
“Arak Membunuh!”
www.scrut.my
Original Post: https://www.facebook.com/scrut.my/posts/715676022250913?__tn__=K-R