Video yang pernah gegarkan media sosial, memecahkan tembok penipuan industri kereta terpakai, dan buat ramai yang selama ini tidur, akhirnya terjaga. Ya, video itu yang bukan sekadar tular tetapi menjadi titik permulaan kepada kebangkitan kesedaran rakyat marhaen. Video yang menyuluh terang kegelapan penuh tipu daya yang selama ini disorok di balik senyuman manis jurujual, kilauan cat baru, dan janji palsu.
Sejak video itu, ratusan ribu rakyat biasa, rakyat pekerja, rakyat makan gaji, rakyat berniaga kecil-kecilan semua telah mula celik. Mereka mula sedar bahawa dalam dunia ini, tak semua orang yang senyum itu jujur. Ada senyuman yang tajam seperti mata pisau, bersedia menikam belakang kita bila wang dah bertukar tangan.
SCRUT bukan sekadar satu nama, tapi satu gerakan.
SCRUT tak lahir untuk glamor. SCRUT tak wujud untuk populariti. SCRUT tak harapkan anugerah, pingat, atau pengiktirafan dari mana-mana agensi kerajaan pun. Kami lahir dari keperitan rakyat, dari tangisan orang kampung yang ditipu. Dari bisikan anak muda yang beli kereta buruk dengan pinjaman 9 tahun. Dari keluhan ibu tunggal yang ditipu tentang “kereta cantik tak pernah eksiden” tapi akhirnya habis duit baiki lebih dari harga beli.
Ratusan ribu rakyat marhaen telah terselamat daripada ditipu oleh kapitalis jahat yang memerah kita berdekad lama.
Ya, mereka yang sebelum ini tiada tempat mengadu, kini sudah ada saluran. Mereka yang dulu jadi bahan ketawa bila mengadu ditipu, kini ada tempat membela. Kapitalis-kapitalis lama yang selama ini hidup senang dengan hasil penipuan, kini mula rasa panas. Mereka mula terketar-ketar bila pelanggan tanya:
“Abang ada report SCRUT tak?”
Dulu pembeli datang tanya,
“Bang, kereta ni cantik ke tak?”
Sekarang pembeli datang dengan mata terbuka,
“Bang, kenapa report SCRUT kata kereta ni total loss tahun lepas?”
Ramai yang kenali SCRUT juga daripada video pendedahan ini, ramai yang datang kat kami mengadu nasib mereka ditipu daripada video ini.
Kami bukanlah hero. Tapi kami tahu, pendedahan itu jadi “turning point”. Tak kurang juga yang datang kepada kami dengan mata merah, bawa fail penuh bukti kereta eksiden besar yang dijual sebagai “tip top”. Kami jadi tempat mereka meluah, kami jadi tempat mereka mengadu. Kami bukan peguam, tapi kami tunjukkan jalan. Kami bukan penguatkuasa, tapi kami bantu rakyat melawan.
Maksudnya apa tuan-tuan?
Maksudnya rakyat mula faham bahawa data ialah kuasa. Dulu mereka beli kereta guna “percaya”. Sekarang mereka guna data, guna fakta. Mereka tahu, dengan RM80 buat semakan SCRUT, mereka boleh jimat ribuan ringgit dari terbeli ‘bangkai’ yang dicat semula. Mereka tahu, dengan data kemalangan, mereka boleh elak jadi mangsa seterusnya dalam industri yang gelap ini.
Dahulu mereka mudah terpedaya dan tak tahu dekat mana nak dapatkan data kemalangan, tapi sekarang dengan bantuan SCRUT USEDCAR REPORT (SUR) mereka terselamat.
Dengan hanya beberapa klik, mereka dapat tahu latar belakang kereta. Ada kesan kemalangan? Ada insurans tuntut kerugian? Pernah dilupuskan? Semua boleh tahu. Ini bukan ilmu sihir, ini teknologi. Ini bukan ramalan, ini realiti. Dan teknologi ini kami sediakan bukan untuk kaya, tapi untuk bantu rakyat selamat.
Kita bukan menteri yang tak perlu fikir pasal kerugian.
Menteri kalau salah beli kereta, besok tukar baru. Ada elaun, ada sponsor, ada bajet. Kita? Salah beli kereta, pinjaman sembilan tahun terseksa. Anak nak sekolah terpaksa naik motor sebab kereta tengah baiki enjin. Isteri merajuk sebab kereta asyik rosak. Ini realiti orang biasa. Dan sebab itulah SCRUT diwujudkan.
Kita bukan artis, semua minta sponsor.
Kita ni orang marhaen. Beli barang guna duit sendiri. Salah langkah, kita yang tanggung. Salah beli kereta, kita yang kena. Tak ada brand nak tolong bayar. Tak ada fans nak ‘backup’. Sebab itu kami di SCRUT sentiasa berpegang pada satu prinsip kalau kita tak jaga sesama kita, siapa lagi?
SCRUT hanya minta rakyat marhaen untuk SCRUT dulu. Buatlah semakan dahulu.
Kami bukan minta derma. Kami bukan minta sokongan membuta tuli. Kami hanya minta satu benda semak dulu. Jangan percaya buta. Jangan jadi mangsa seterusnya. Dan kalau kau betul-betul benci sangat dengan SCRUT, tak mengapa cari alternatif lain yang boleh beri laporan integriti sebenar. Tapi jangan semata-mata ego, kau sanggup gadai duit dan masa kau beli kereta tak selamat.
Tapi nak tanya jenis yang benci SCRUT ni apa sebab ya?
Dari pemerhatian kami, yang benci SCRUT ni biasanya jenis:
Penjual kereta yang jual kereta eksiden tapi sembang “lady owner”. Kapitalis lama yang kaya dari hasil tipu orang kampung. Penjual yang dah terkena sebab pelanggan makin bijak guna SCRUT. Dan yang terbaru, SKMM?
Ya, pelik tapi benar. Bila rakyat makin cerdik, makin ramai yang tak senang. Bila rakyat ada kuasa data, makin banyak pihak yang gelisah. Kenapa ya? Bukankah rakyat cerdik itu bagus? Atau sebenarnya ada yang takut kuasa rakyat makin kuat?
Korang rasa?
Kami di SCRUT akan terus melawan. Kami akan terus siarkan laporan. Kami akan terus buka mata rakyat. Mungkin hari ini kami disaman, mungkin esok kami diganggu, tapi kami tahu satu benda: selagi ada rakyat yang menyokong, kami takkan padam.
Ini bukan sekadar semakan kenderaan.
Ini ialah perlawanan. Perlawanan antara kebenaran dan penipuan. Perlawanan antara rakyat marhaen dan kapitalis tamak. Perlawanan antara yang telus dengan yang sembunyi bangkai bawah karpet.
Dan dalam perlawanan ini, kami pilih untuk berdiri dengan rakyat.
Original post: https://www.facebook.com/scrut.my/videos/1249264713209554/