KAJANG: Seorang suri rumah masih dalam pantang bersalin, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mendera anak saudara lelakinya menggunakan wayar sambungan elektrik minggu lalu.
Tertuduh, Norazatul Akmal Zakaria, 35, didakwa melakukan perbuatan itu sehingga mangsa yang berusia 10 tahun 10 bulan mengalami lebam dan berbirat di seluruh badan.
Bagaimanapun, ibu dua anak itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, Norazatul Akmal didakwa sebagai penjaga anak saudaranya itu melakukan penganiayaan terhadap mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi kanak-kanak berkenaan di sebuah rumah di Hill Park 2 di sini, kira-kira jam 7.30 pagi 8 Mac lalu.
Difahamkan, ibu bapa mangsa sudah bercerai.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada masa sama, sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman dinyatakan dalam subseksyen (1) memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas suatu kesalahan menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh difikirkan patut oleh mahkamah dan khidmat masyarakat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noorhafizan Zakaria mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan keluarganya hingga kes selesai.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam P Gunalan memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan tertuduh tidak bekerja dan masih dalam pantang, manakala bayi keduanya baru berusia tiga bulan.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Surita membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa hingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 April depan untuk sebutan semula kes.
Original post: https://www.facebook.com/scrut.my/posts/pfbid02AGodJ56gJUGdTsCB2T3EmEW4kM8aoPdJt7pMC7hZwPoszMZf9XpH3gVLckoUdLbtl