Khalifah yang menurunkan gaji sendiri!
Setelah diangkat menjadi khalifah, keesokan harinya, Abu Bakar dilihat berangkat ke pasar dengan barang dagangannya. Umar kebetulan bertemu dengannya di jalan dan mengingatkan bahawa di tangan Abu Bakar sekarang terpikul beban kenegaraan yang berat.
“Mengapa kau masih saja pergi ke pasar untuk mengelola perniagaan? Sedangkan negara mempunyai begitu banyak masalah yang harus diselesaikan?” ujar Umar.
Mendengar pertanyaan itu, Abu Bakar tersenyum dan menjawab,
“Untuk mempertahankan hidup keluarga, maka aku harus bekerja.” jawabnya ringkas.
Kejadian itu membuat Umar berfikir jauh. Maka Umar bersama sahabat yang lain bermesyuarat dan menghitung pengeluaran rumah tangga khalifah sehari-hari.
Tak lama kemudian, (diriwayatkan) mereka menetapkan gaji tahunan 2,500 dirham untuk Abu Bakar dan kemudian dinaikkan secara bertahap menjadi 3000 dirham setahun. Meskipun gaji khalifah sebesar itu, Abu Bakar tidak pernah mengambil seluruhnya gajinya.
Pada suatu hari isterinya berkata kepada Abu Bakar,
“Aku ingin membeli sedikit manisan.”
Abu Bakar menyahut, “Aku tidak memiliki wang yang cukup untuk membelinya.”
Isterinya berkata, “Jika engkau izinkan, aku akan mencuba untuk berjimat wang belanja kita sehari-hari, sehingga aku dapat membeli manisan itu”.
Abu Bakar bersetuju.
Maka mulai saat itu isteri Abu Bakar menabung sedikit demi sedikit, menyisihkan wang belanja mereka setiap hari. Beberapa hari kemudian wang itu pun terkumpul untuk membeli makanan yang diinginkan oleh isterinya. Setelah wang itu terkumpul, isterinya menyerahkan wang itu kepada suaminya untuk dibelikan manisan tersebut.
Namun Abu Bakar berkata,
“Nampaknya dari pengalaman ini, ternyata wang gaji yang kita perolehi dari Baitul Mal itu melebihi dari keperluan kita.”
Sejak hari itu, wang gaji beliau telah dikurangkan sejumlah wang yang dapat dijimat oleh isterinya.
Pada saat wafatnya, Abu Bakar hanya mempunyai sebuah kain alas tidur lama dan seekor unta, yang juga merupakan harta negara. Ini pun dikembalikannya kepada penggantinya, Umar bin Khattab.
Umar selalu mengatakan, “Aku selalu saja tidak pernah mampu mengalahkan Abu Bakar dalam beramal soleh.”
Namun terdapat satu riwayat mengatakan bahawa Abu Bakar memilikki sebidang kecil tanah dekat rumahnya yang terdapat sebuah sumur yang bersih dan sedap airnya. Ini beliau miliki sebelum menjadi Khalifah lagi. Harta yang sedikit tapi bernilai ini (air sangat bernilai di Tanah Arab) juga telah diserahkan kepada Baitul Mal sebagai ganti gaji yang beliau terima sepanjang menjadi Khalifah. Membawa maksud beliau telah menjadi Khalifah tanpa digaji.
Beliau telah meninggalkan jejak yang tidak mampu diikuti oleh sesiapa pun di dunia ini sehingga sekarang.
SCRUT for the TRUTH!
Original Post: https://www.facebook.com/scrut.my/posts/829404707544710