Ramai beranggapan bahawa menunggang dalam kumpulan besar memberi rasa selamat, sedangkan realitinya, faktor manusia seperti ego, kurang pengalaman, dan kecenderungan untuk meniru aksi berbahaya sebenarnya meningkatkan kebarangkalian kemalangan.
Dalam banyak kes yang Uncle lihat, kemalangan konvoi bukan berpunca daripada kerosakan motosikal, tetapi daripada kesilapan kecil yang berantai. Contoh, seorang brek mengejut, dan dalam beberapa saat sahaja, beberapa penunggang lain terlibat dalam pelanggaran.
Konvoi yang selamat memerlukan struktur dan perancangan, bukan sekadar “ride ikut suka”. Setiap kumpulan sepatutnya mempunyai ketua di hadapan yang berpengalaman dan seorang “sweeper” di belakang untuk memastikan tiada yang tercicir.
Jumlah motosikal dalam satu kumpulan juga perlu dikawal, idealnya antara lima hingga tujuh buah sahaja. Jika terlalu ramai, konvoi perlu dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil. Ini penting kerana semakin besar kumpulan, semakin sukar untuk mengawal kelajuan, jarak, dan komunikasi antara penunggang.
Dari sudut teknikal, formasi konvoi memainkan peranan besar dalam mengurangkan risiko. Formasi zig-zag atau “staggered formation” adalah yang paling disyorkan kerana ia memberi ruang tindak balas yang lebih baik berbanding susunan satu barisan rapat.
Jarak antara motosikal juga tidak boleh dipandang ringan dan mengekalkan sekurang-kurangnya satu hingga dua saat jarak adalah asas untuk mengelakkan pelanggaran apabila berlaku kecemasan.
Kelajuan pula perlu dikawal secara konsisten dan bukan ditentukan oleh penunggang paling laju. Prinsip “ride your own ride” sangat penting. Setiap individu perlu menunggang mengikut kemampuan sendiri, bukan terpengaruh dengan tekanan kumpulan.
Komunikasi dalam konvoi mesti jelas, sama ada melalui isyarat tangan atau peranti interkom, bagi memberi amaran awal tentang bahaya seperti lubang jalan, halangan, atau keperluan untuk memperlahankan kenderaan.
Jangan buat aksi superman atau wheelee. Hakikatnya, majoriti kemalangan maut dalam kalangan penunggang muda berkait rapat dengan tingkah laku berisiko tinggi, bukan faktor luaran.
Hormatlah jalan raya!
Original post: https://www.facebook.com/reel/1636548447462390
You must be logged in to post a comment.